Tidak sempurna rasanya kalau kita menjejakkan kaki ke Mekah tanpa kita mengetahui sedikit sebanyak tentang latarbelakang tanah yang berkat ini. Apabila kita meneliti sejarahnya, kita akan dapati Mekah pada zahirnya tidaklah mempunyai apa-apa keistimewaan terutama dari sisi pandang manusia pada lokasi untuk terbinanya satu ketamadunan yang gah sehingga kini.
Memang, dari sudut geografinya Mekah merupakan satu tanah gersang di sebuah lembah yang dikelilingi oleh beberapa buah bukit seperti, Bukit Abi Qubais, Bukit Umar, Bukit Quayqoan dan Bukit Al-Khundumah. Kedudukan ini tentunya bukan menjadi pilihan yang baik sekiranya dari sudut pandang manusia sebagai tempat untuk dijadikan pusat pembinaan tamadun. Namun begitu, Allah yang Maha Berkuasa ingin membuktikan kepada manusia tentang suatu perkara yang luar dari kotak pemikiran manusia.
Mekah asasnya mempunyai beberapa nama yang telah disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran:
1. MAKKAH
وَهُوَ الَّذِي كَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنْكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ عَنْهُمْ بِبَطْنِ مَكَّةَ مِنْ بَعْدِ أَنْ أَظْفَرَكُمْ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرً
Dan Dia lah yang telah menahan tangan mereka (yang musyrik) daripada melakukan perkara yang buruk terhadap kamu, dan tangan kamu daripada berbuat demikian kepada mereka di kawasan Makkah, sesudah Ia menjadikan kamu dapat menewaskan mereka. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.
(Al-Fath: 24)
2. BAKKAH
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِلْعَالَمِينَ
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.
(Ali-Imran: 96)
3. UMMUL QURA
وهَٰذَا كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ مُصَدِّقُ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَلِتُنْذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَهُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
Dan ini (Al Quran) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang diberkahi; membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah) dan orang-orang yang di luar lingkungannya. Orang-orang yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat tentu beriman kepadanya (Al Quran) dan mereka selalu memelihara sembahyangnya.
4. AL BALAD
لا أُقْسِمُ بِهَذَا الْبَلَدِ (١) وَأَنْتَ حِلٌّ بِهَذَا الْبَلَدِ (٢
Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini;
Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas),
(Al-Balad 1-2)
5. ALBALADUL AMIN
وَهَٰذَا الْبَلَدِ الْأَمِينِ
dan demi kota (Mekah) ini yang aman,
(At-Tiin:3)
Sebenarnya ada beberapa lagi nama yang telah disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam A-Quran seperti
Al-Baldah,Haraman Aamina, Ma’ad dan sebagainya. Namun yang penting ingin dijelaskan di sini ialah Mekah ini merupakan satu tanah yang telah dimuliakan oleh Allah s.w.t kerana lahirnya seorang Nabi akhir zaman di tanah tersebut.
Persoalannya kini, kenapa Mekah?
Mekah sebenarnya dianggap sebagai pusat bumi yang tingginya lebih daripada 300 meter dari paras laut itu mempunyai latarbeakang yang cukup istimewa sebagai pusat ketamadunan manusia, bermula dari sejarah Nabi Ibrahim a,s membina Kaabah sehinggalah hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, mekah telah lalui pelbagai perubahan dan merakam pelbagai episod sejarah kehidupan manusia yang menghuninya.
Pemilihan Mekah ini ialah kerana kedudukan Mekah yang berada di tengah-tengah pusat ketamadunan yang rosak seperti Tamadun Rom, Parsi, Greek tua, India dan sebagainya menyebabkan Mekah yang masih terkawal dengan suasana yang aman dan tenteram itu serta kedudukannya yang strategik amat sesuai sebagai sumbu untuk menyebarkan api nyalaan dakwah Islam.
Apa Kelebihan yang ada pada Mekah yang padanya terletak Masjidil Haram? Tunggu siri yang akan datang insyaallah
Rujukan:
1. Al Quran
2. Tafsir Qurtubi
3. Fiqh Sirah - Dr Mohd Said Ramadhan Al-Bouti
4. Fi Attarikh Islami - Dr Shauqi Abu Khalil
5. Atlas Sirah Nabawiyyah - Dr Shauqi Abu Khalil
6. Makkah Al Mukarramah Kelebihan & Sejarah - Dr Abd Basit Abd Rahman
7. Website: www.surah.my